Kesahan Dan Kebolehpercayaan Instrumen Penilaian Pengetahuan, Sikap Dan Amalan Terhadap Pandemik Covid-19 Dalam Kalangan Pelajar Institut Pendidikan Guru
Keywords:
Kesahan, Kebolehpercayaan, Instrumen, COVID-19Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan kesahan dan kebolehpercayaan instrumen penilaian pengetahuan, sikap dan amalan terhadap pandemik COVID-19 dalam kalangan pelajar Institut Pendidikan Guru. Tiga subskala yang digunakan ialah pengetahuan, sikap dan amalan terhadap pandemik COVID-19. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian tinjauan. Seramai 348 orang pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Zon Selatan dipilih sebagai sampel kajian. Formula oleh Sidek Mohd Noah dan Jamaludin Ahmad (2005) digunakan untuk mendapatkan kesahan kandungan item soal selidik. Kebolehpercayaan item soal selidik diperoleh melalui analisis Cronbach alpha. Analisis faktor digunakan untuk mendapatkan kesahan konstruk item soal selidik. Keputusan analisis menunjukkan nilai kesahan kandungan item soal selidik ialah r = .83 dan kebolehpercayaan item soal selidik ialah α = .91 di mana koefisien ketekalan dalaman untuk subskala pengetahuan ialah α = .82, sikap (α = .81) dan amalan (α = .84). Kesahan konstruk menunjukkan sebanyak 28 daripada 35 item diterima sah sebagai item soal selidik. Instrumen penilaian ini mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi untuk mengukur pengetahuan, sikap dan amalan terhadap pandemik COVID-19 dalam kalangan pelajar Institut Pendidikan Guru.