KESAN ANGIN TERHADAP KANDUNGAN OKSIGEN DI DALAM KOLAM YANG TERCEMAR MENGGUNAKAN PERISIAN EFDC EXPLORER.
Keywords:
oksigen terlarut, perisian EFDC, pengudaraan, kualiti air, kesan anginAbstract
Kajian ini dijalankan untuk menganalisis kesan angin terhadap kandungan oksigen terlarut di dalam kolam yang tercemar menggunakan kadar pengudaraan semula (k2) yang berbeza beza. Kajian ini juga dibuat untuk menganalisis hubungan antara kedalaman kolam dan oksigen terlarut apabila tiada kesan angin dan dengan kesan angin. Kawasan kajian adalah kolam takungan Nanyang, Wahyu dan Delima yang terletak di Selayang, Selangor. Melalui pemerhatian fizikal, didapati bahawa ketiga tiga kolam ini tercemar. Ini dapat dilihat dari keadaan air kolam (warna hijau gelap), sampah sarap terapung di permukaan dan bau busuk. Angin adalah salah satu faktor yang penting dalam mempengaruhi tahap campuran oksigen di dalam air. Penyebaran oksigen dari atmosfera ke dalam air yang berlaku secara langsung pada keadaan air tenang (bertakung) atau dengan pergolakan air yang disebabkan oleh angin. Pada keadaan air, tenang resapan oksigen berlaku apabila tekanan udara yang lebih tinggi daripada tekanan air di permukaan. Tetapi dengan kehadiran angin, pergolakan berlaku di permukaan dan ini akan menyebabkan penyebaran oksigen ke dalam air akan berlaku lebih cepat. Perisian EFDC telah digunakan untuk memodelkan kolam Nanyang, Wahyu dan Delima bagi proses simulasi hidrodinamik dan proses simulasi kualiti air. Terdapat dua parameter utama yang telah dianalisis iaitu oksigen terlarut dan kesan angin. Hasil daripada simulasi yang dijalankan profil taburan oksigen di permukaan dan graf kedalaman melawan kandungan oksigen diplot untuk menunjukkan trend. Analisis menunjukkan kehadiran angin dapat membantu meningkatkan proses pengudaraan sekaligus membantu meningkatkan tahap kandungan oksigen terlarut.