KAJIAN ATRIBUSI: MEMAHAMI PUNCA KEGAGALAN DAN KEJAYAAN PELAJAR DALAM KURSUS MATEMATIK KEJURUTERAAN 1, MATEMATIK KEJURUTERAAN 2 DAN SAINS KEJURUTERAAN
ATTRIBUTION STUDY: UNDERSTANDING THE CAUSES OF STUDENT FAILURE AND SUCCESS IN ENGINEERING MATHEMATICS 1, ENGINEERING MATHEMATICS 2 AND ENGINEERING SCIENCE COURSES.
Keywords:
Atribusi, Teori Atribusi Weiner, Kegagalan Akademik, Kejayaan Akademik, Matematik Kejuruteraan, Sains KejuruteraanAbstract
Kajian ini bertujuan untuk memahami punca kegagalan dan kejayaan pelajar dalam kursus Matematik Kejuruteraan 1, Matematik Kejuruteraan 2 dan Sains Kejuruteraan, berlandaskan Teori Atribusi oleh Weiner. Persoalan kajian meneliti atribusi utama pelajar terhadap kegagalan mereka buat kali pertama dan atribusi kejayaan setelah mengalami kegagalan. Menggunakan pendekatan kuantitatif deskriptif, 66 orang pelajar dipilih melalui persampelan bertujuan. Data dikumpul menggunakan soal selidik yang menunjukkan kebolehpercayaan Alpha Cronbach 0.889. Dapatan menunjukkan bahawa bagi kegagalan awal, pelajar paling tinggi mengaitkannya dengan faktor internal boleh kawal seperti "tidak menggunakan strategi pembelajaran berkesan" (Min=3.5152) dan "kurang fokus dan tidak bermotivasi" (Min=3.4242), namun juga mengaitkan "nasib saya tidak baik" (Min=3.4545). Bagi kejayaan setelah kegagalan, atribusi dominan adalah "pensyarah mengajar lebih baik" (Min=3.9394), diikuti oleh "usaha lebih gigih" (Min=3.7879) dan "mengubah strategi pembelajaran" (Min=3.7576). Ini menunjukkan corak atribusi yang adaptif, menekankan peranan usaha diri dan strategi, di samping sokongan pensyarah. Kajian ini menggariskan keperluan intervensi yang membina atribusi adaptif, meningkatkan kualiti pengajaran, dan menggalakkan sokongan sosial untuk memupuk prestasi akademik yang berterusan. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti atribusi utama pelajar terhadap kegagalan mereka buat pertama kali, dan atribusi utama terhadap kejayaan mereka selepas mengalami kegagalan. Hasil kajian menunjukkan pelajar mengaitkan kegagalan dengan faktor-faktor boleh kawal seperti strategi pembelajaran yang lemah, manakala kejayaan pula dikaitkan dengan peningkatan usaha dan kualiti pengajaran pensyarah. Dapatan ini mengukuhkan teori atribusi dan memberi implikasi praktikal untuk merangka intervensi yang lebih berfokus kepada pembangunan kemahiran belajar dan sokongan pensyarah.