Ar Hockey Pro Sebagai Pendekatan Norma Baharu Dalam Meningkatkan Kemahiran Asas Hoki Dalam Kalangan Murid SM Agama Repah, Tampin, Negeri Sembilan
Keywords:
AR Hockey Pro, Hoki, Augmented RealityAbstract
Kajian ini dijalankan untuk menangani masalah yang dihadapi oleh para guru dan pelajar dalam menguasai kemahiran asas hoki di sekolah sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah. Terdapat juga sebahagian guru yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan (PJK) bagi topik hoki di tingkatan 3, menghadapi masalah untuk mengajar kemahiran hoki kepada para pelajar disebabkan tidak ada kaedah yang mudah untuk dipelajari dan dikuasai sama ada bagi guru tersebut mahupun bagi para pelajar itu sendiri. Lebih membimbangkan pada hari ini tidak ramai pelajar sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah yang berminat untuk menceburi sukan hoki kerana menghadapi kekangan di peringkat sekolah iaitu kekurangan bilangan guru yang mempunyai sijil asas kejurulatihan hoki ataupun tidak memiliki sebarang pengetahuan dan pengalaman dalam sukan hoki.
Kajian ini dilakukan terhadap para pelajar tingkatan 3 Umar Sekolah Menengah Agama Repah, Tampin, Negeri Sembilan. Seramai 5 orang pelajar lelaki dan 5 orang pelajar perempuan telah dipilih daripada kalangan pelajar yang tidak memiliki latar belakang pengetahuan dan pengalaman dalam sukan hoki. Seorang guru yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani & Kesihatan (PJK) bagi tingkatan 3 turut dipilih sebagai responden dalam kajian ini. Kajian awal telah dijalankan berdasarkan pengalaman guru berkenaan semasa mengajar topik hoki kepada para pelajar. Para pelajar didapati agak sukar untuk menguasai konsep asas hoki dengan baik malah terdapat beberapa kesalahan dalam sesi demonstrasi oleh guru. Masalah ini dilihat memberi kesan negatif kepada para pelajar malah jika ianya tidak diajar dengan kaedah yang betul, besar kemungkinan para pelajar boleh menghadapi kecederaan semasa latihan di padang. Pada mulanya guru mengajar topik atau kemahiran hoki menggunakan kaedah biasa iaitu kaedah demonstrasi secara langsung kepada para pelajar. Selepas itu, para pelajar akan membuat amali bersama rakan dengan dipantau oleh guru. Pada sesi berikutnya, guru mengajar topik atau kemahiran hoki yang sama sekali lagi. Kali ini menggunakan kaedah AR Hockey Pro.
Selepas beberapa sesi amali dijalankan, para pelajar diberikan ujian kemahiran secara praktikal. Perbandingan penguasaan kemahiran pelajar sebelum dan selepas penggunaan inovasi AR Hockey Pro menunjukkan perbezaan yang amat ketara. 100 % daripada pelajar yang diuji telah menunjukkan peningkatan dari segi kemahiran hoki mereka .Kajian tindakan ini memfokuskan kepada kaedah untuk meningkatkan pemahaman pelajar seterusnya dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran mereka melalui kaedah AR Hockey Pro. Satu inovasi bertemakan IR 4.0 yang dibangunkan menggunakan teknologi Augmented Reality (AR). Kaedah ini juga dilihat berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan disamping guru-guru juga dapat mengajar dengan alat bantuan mengajar yang efektif dan releven dengan perkembangan teknologi terkini.