Trend Berbasikal Di Malaysia: Kajian Motivasi Dan Faedah
Keywords:
trend, berbasikal, motivasi, faedahAbstract
Pada kebiasaannya, sukan berbasikal adalah antara pilihan sebagai latihan silang (cross training) di kalangan pelari untuk meningkatkan kecergasan dan prestasi larian mereka di samping menyertai duathlon, yang juga menjadi persediaan sebahagian daripada mereka yang mahu mencabar diri menyertai Ironman triathlon. Walaubagaimanapun, fenomena sukan berbasikal di Malaysia menjadi bualan apabila semakin ramai mula memiliki dan menyertai kumpulan berbasikal. Sukan yang semakin digemari ini terbukti menjadi trend apabila semakin ramai penunggang basikal dapat dilihat di lalu lintas dan taman rekreasi, serta perkongsian media sosial baik dari kalangan artis hinggalah ahli politik. Kajian ini dilaksanakan bagi mengenalpasti apakah penyebab dari aspek motivasi dan aspek faedah kepada peningkatan trend berbasikal di Malaysia. Kaji selidik ini dijalankan secara kuantitatif dan kualitatif dengan mengambil kira pandangan, cadangan, dan pengalaman responden. Sampel kajian melibatkan 1077 responden di serata Malaysia yang mempunyai basikal dan aktif berbasikal. Menggunakan instrumen sumber primer, soal selidik dibangunkan dan dibahagikan kepada Bahagian A (Demografi – maklumat diri), Bahagian B (Motivasi), Bahagian C (Pengetahuan mengenai latihan silang), dan Bahagian D (Faedah). Sebagai tambahan, terdapat soalan terbuka untuk responden mengutarakan komen atau pandangan mengenai aktiviti berbasikal. Soal selidik diedarkan menggunakan Google Form dan dianalisa menggunakan SPSS23. Kajian telah berjaya mencapai objektif yang dikehendaki oleh pengkaji dan diharap dengan kajian ini dapat membantu pihak yang berkaitan dalam membuat sesuatu keputusan, serta membantu pengkaji akan datang dalam mengembangkan skop kajian.