KEBERKESANAN SIMULATOR ENJIN KAPAL DALAM PEMBELAJARAN KEJURUTERAAN MARIN
EFFECTIVENESS OF SHIP ENGINE SIMULATORS IN LEARNING MARINE ENGINEERING
Keywords:
simulator enjin kapal, kejuruteraan marin, keberkesanan, latihan teknikalAbstract
Penggunaan simulator enjin kapal dalam pembelajaran kejuruteraan marin semakin berkembang sebagai pendekatan hands-on untuk meningkatkan pemahaman teori dan kemahiran praktikal pelajar. Namun begitu, tidak semua penggunaan simulasi berkesan kerana simulator mungkin tidak sepenuhnya mencerminkan keadaan sebenar. Dalam simulasi mekanikal, ia mungkin tidak mampu meniru semua elemen interaksi dunia sebenar, seperti kesan persekitaran atau faktor manusia. Justeru, kajian ini dijalankan untuk a) mengenal pasti ciri menarik simulator enjin kapal dalam pembelajaran kejuruteraan marin, dan b) menilai sejauh mana tahap keberkesanan penggunaan simulator enjin kapal dalam meningkatkan penguasaan kursus kejuruteraan marin dalam kalangan pelajar. Kajian ini menggunakan pendekatan kaedah kuantitatif menggunakan tinjauan soal selidik ke atas pelajar. Sampel kajian terdiri daripada 96 pelajar daripada program kejuruteraan marin di Politeknik Ungku Omar. Analisis yang digunakan dalam kajian ini adalah analisis deskriptif untuk menentukan tahap setiap item. Hasil analisis menunjukkan majoriti responden bersetuju mereka tertarik dengan simulator enjin kapal disebabkan oleh fungsi enjin yang disimulasikan dengan tepat. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa majoriti responden bersetuju bahawa simulasi dapat meminimumkan kecemasan pelajar semasa latihan praktikal sebenar. Kajian ini penting kerana ia menilai keberkesanan penggunaan simulator enjin kapal dalam pembelajaran kejuruteraan marin, yang merupakan elemen kritikal dalam latihan pelaut dan jurutera kapal. Dengan memahami sejauh mana simulator dapat meningkatkan pemahaman teori, kemahiran teknikal, dan kecekapan menyelesaikan masalah, institusi pendidikan dapat merangka strategi pengajaran yang lebih berkesan dan selaras dengan keperluan industri maritim.






