Kurikulum Pengajian Islam dan Pendidikan Moral Dalam Pembentukan Sahsiah Berkualiti: Satu Kajian Di Politeknik Mukah
Keywords:
kurikulum Pengajian Islam; kurikulum Pendidikan Moral; pembentukan; sahsiah; berkualiti; Politeknik MukahAbstract
Pendidikan merupakan elemen utama dalam mendidik generasi cemerlang serta membentuk sahsiah peribadi yang berkualiti. Masalah sosial dan salah laku pelajar semakin membimbangkan telah memberi impak negatif dalam kehidupan. Justeru, kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti tahap pemahaman pelajar terhadap kurikulum Pengajian Islam dan Pendidikan Moral, mengetahui tahap penghayatan pelajar terhadap sahsiah berkualiti dan mengkaji hubungan di antara kurikulum Pengajian Islam dan Pendidikan Moral dengan pembentukan sahsiah pelajar. Responden kajian ini adalah pelajar semester dua sesi 2: 2021/2022 yang mengambil kursus Pengajian Islam dan Pendidikan moral terdiri daripada dua jabatan iaitu Jabatan Teknologi, Maklumat dan Komunikasi (JTMK) dan Jabatan Perdagangan (JP) iaitu seramai 137 orang. Satu set soal selidik yang mengandungi 24 item telah diedarkan kepada responden. Analisis deskriptif dijalankan untuk mendapatkan nilai kekerapan, peratusan dan min dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science Version 26. Analisis secara inferensi juga dijalankan dengan menggunakan korelasi Pearson untuk mengkaji hubungan antara kurikulum Pengajian Islam dan Pendidikan Moral dengan pembentukan sahsiah pelajar. Hasil kajian menunjukkan tahap pemahaman pelajar terhadap kurikulum Pengajian Islam dan Pendidikan Moral dan tahap penghayatan pelajar terhadap pembentukan sahsiah berkualiti berada pada tahap nilai min yang tinggi iaitu masing-masing 4.52 dan 4.34. Dapatan juga menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara kurikulum Pengajian Islam dan Pendidikan Moral dengan pembentukan sahsiah pelajar iaitu r = 0.585. Kesimpulannya, kurikulum Pengajian Islam dan Pendidikan Moral di Politeknik adalah salah satu saluran dalam membentuk sahsiah dan peribadi yang unggul.